Setelah menghilangkan diri dari alam blogger sekian lama (xde la lama sangat..tak sampai sebulan..hihih), saya ingin menulis entry yang berlainan sikit (sikit je…xbanyak beza pun. Ahakz). Entry kali ini hanyalah berkongsi pendapat mengenai perbezaan antara lelaki dan wanita. Harus diingatkan bahawa ianya hanyalah pendapat saya sahaja dan jika ada penambahan, anda digalakkan untuk turut memberi pandangan anda (komen je kat bawah tu k..).
Pertama sekali, kita akan bandingkan berdasarkan fizikal. Perbezaan dari segi fizikal sangat ketara kerana kita boleh membuat pemerhatian dari luaran. Kulit lelaki adalah lebih kasar manakala kulit perempuan lebih halus. Perempuan juga memiliki suara yang lebih halus berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya. Selain itu, lelaki juga memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Hal ini adalah kerana tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya turut berbeza. Wanita diciptakan dengan struktur tubuh sedemikian rupa bagi memudahkan mereka untuk melahirkan anak. Untuk pengetahuan umum, sistem badan lelaki dan wanita adalah tidak sama. Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.
Dari segi psikologi pula, wanita secara umumnya lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan yang melibatkan perasaan. Apabila mengamati sesuatu benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan manakala wanita menggunakan pengamatan yang lebih luas. Sebagai contoh, pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang fokus kepada sesuatu objek. Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang meluas dan menampakkan banyak benda. Seperti sedia maklum, wanita sering ingin mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehinggalah perkara besar. Sementara lelaki hanya fokus kepada matlamat utama. Hal ini adalah kerana wanita sering memikirkan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.
Oleh itu, jangan terlalu menyalahkan wanita jika mereka suka membesarkan sesuatu isu. Lelaki seharusnya peka akan sesuatu perkara itu walaupun ia hanyalah perkara kecil bagi mereka. Pada pandangan saya, jika seseorang wanita itu merajuk atau terguris perasaan, janganlah lengah-lengahkan masa untuk menenangkan mereka kembali kerana cara pemikiran mereka berbeza dengan lelaki. Tidak salah jika lelaki ingin berikan ruang agar mereka boleh menenangkan diri. Namun, harus diingatkan agar tidak membiarkan mereka terlalu lama. Kadang-kala, wanita terlalu mengikut perasaan dan sanggup membuat sesuatu di luar jangkaan kita.
Kita harus akui bahawa lelaki dan wanita adalah BERBEZA walaupun mengikut peredaran masa. Namun, perbezaan tersebut bukanlah satu faktor untuk kita saling bermusuhan, sebaliknya bagi saling membantu dan berkasih-sayang.
*PERINGATAN: Entry ini tidak sesuai untuk dijadikan bahan rujukan. Sekadar untuk pengetahuan umum sahaja. Peace!!!

No comments:
Post a Comment